Monday, March 31, 2008

Ah, Ia Sudah Hampir

Ia seakan musim panas di negara empat musim. Ah satu musim yang dinanti-nanti bagi segolongan manusia.

Seperti kita di sini, di daerah yang semusim sahaja. Panas itu suatu kebiasaan dan penuh keresahan. Tapi tidak bagi manusia berkulit putih yang menyimpan perasaan teruja bila musim panas.


Krisis ekonomi. Suatu musim yang sangat meresahkan. Suatu keadaan yang tidak diingini oleh semua manusia.

Semua manusia. Kau, aku, dia atau mereka.

Takut. Resah dengan ketidak tentuan masa depan.

Kebanyakannya berkongsi tanggapan yang sama.

Tapi tiada satu manusia sudi menerima musim panas ini sebagai satu pemberian.

Siapa mahu?

Ada. Ada yang mahu. Tapi yang mahu itu tidak bersorak dengan kedatangan musim panas. Cuma ada yang berharap musim ini seketika, tidak berpanjangan hingga kemarau.

Bertenang. Ini cuma permainan dunia. Suatu 'cycle' kehidupan. Macam hidup dan mati. Tiap hari ada kelahiran dan kematian. Hukum alam.

Krisis ekonomi ada sifat-sihat tersendiri. Paling nyata, apabila ekonomi gawat semua sukar mencari rezeki. Cukup. Itu kesannya.

Maka apa yang baiknya? Ada. Besar manfaatnya. Terutama kepada tamadun manusia.

Sifat-sifat krisis ekonomi ialah punya kitaran tersendiri. Secara kasarnya 8-10 tahun. Dan ia akan berulang-ulang melalui kitarannya untuk mengajar puak kapitalis. Ingat ayat ini 'mengajar'. Kesan paling besar dan buruk akan terpalit pada masyarakat kelas bawahan.

Adakah krisis ekonomi ini perlu berlaku?

Ya amat perlu. Begini, semua tahu wujud krisis ekonomi, tapi puncanya mengapa? Biar aku mudahkan pemahaman kamu. Kemelesetan ekonomi ialah seperti ledakan bom jangka. Yang meletup membinasakan apa yang sudah tersedia ada. Runtuh. Seperti teori domino apabila satu bahagian yang terbinasa dan akan menyeret kawasan-kawasan persekitaran. Rantaian kejatuhan ini mengakibatkan kejatuhan yang besar-besaran yang tidak tertampung oleh ekonomi sesuatu negara peneraju (market leader) dan menyeret sekali pengikut-pengikutnya. Nanti. Bagaimana ledakan tadi bermula? Ledakan tidak akan bermula jika tiada 'trigger'nya. Asasnya ia berkaitan dengan teori 'demand and supply'. Permintaan dan penawaran dalam bahasa lokal. Pada masa ekonomi sedang dalam proses pemulihan, wujud demand yang konsisten saban hari. Trend demand yang agak meningkat dan konsisten saban hari memberi keyakinan pada pengeluar (supplier) untuk menawarkan segala jenis keperluan yang dikehendaki. Maka teori demand dan supply akan berlansung kembali diguna pakai. Akan sampai suatu tahap di mana penawaran yang begitu berlebihan (over supply) dan permintaan yang cukup rendah akan membentuk bubble yang semakin membesar dan menunggu masa untuk meletup.

Nanti. Mungkin kamu pening. Sebelum pergi jauh, dalam keadaan penawaran yang berlebihan, pengeluar-pengeluar secara agresif berbelanja untuk memasarkan keluaran. Tidak cukup wang, pinjam dari institusi kewangan. Dan apabila pengeluar secara beramai-ramai membuat pinjaman, dan dalam masa yang sama hasil keluaran tidak ada permintaan, mereka beramai-ramai menjadikan beban kepada bankers. Dan apabila terjadi begini, dalam bilangan yang ramai, menjadikan institusi kewangan mangsa pertama keledakan krisis ekonomi. Kaboom. Dan domino effect pun tercetus. Macam serangan penyakit yang berjangkit. Satu demi satu sektor terpalit dan terseret. Dan apabila beramai-ramai bertambah meriah krisis ekonomi.

Nanti. Mengapa pengeluar secara beramai-ramai menjadi beban kepada bankers? Kerana, apabila berlaku nya penawaran yang berlebih-lebih, ditambah permintaan yang tidak setimpal menyebabkan pengeluar tidak upaya membayar pinjaman. Maka bankers dengan bantuan bank pusat menaikkan kadar faedah supaya peminjam-peminjam giat membayar hutang hakikatnya mereka tiada wang (kerana sudah dibelanjakan, samada masuk poket sendiri lebih-lebih lagi kapitalis yang rakus). Apabila bankers menjadi tegas, ramai yang gulung tikar dan muflis dan bermula rantaian ledakan untuk krisis ekonomi.

Hrmmm. Begitulah kisah sebenarnya. Dan ia adalah suatu kitaran hidup. Ia akan sentiasa berlaku, apabila ada manusia-manusia tamak ghairah merebut peluang menjana kekayaan. Oh ya aku terlupa, tadi semasa berlaku pemulihan ekonomi, pengeluar secara rakus, menaikkan harga barang. Kerana, tidak kira apapun harga barang, permintaan akan memenuhi penawaran. Itu berlaku semasa pemulihan ekonomi, ingat, cuma berlaku pada pemulihan ekonomi. Tetapi, sebaliknya akan berlaku apabila ekonomi menuju kemelesetan. Pengeluar akan tetap menaikkan harga untuk menampung kos pengeluaran. Dalam keadaan ini, supply sudah menjadi terlalu excessive. Ingat perkataan ini, over supply.

Maka kamu mesti belajar dan faham. Kerana ia berulang. Seperti kisah didalam kitab suci yang kamu baca. Ia terjadi. Dan akan terjadi selagi manusia itu ada sifat tamak. Benar, memang ada sifat tamak dalam krisis ekonomi. Masing-masing berlumba-lumba memaksimakan 'net profit'.

Cukup lah. Cuma ambil pengajaran. Ia cuma musim panas yang biasa. Bermusim. Yang akan berubah apabila ada yang sudi untuk berubah.

Mengapa aku kata menjadi pengajaran di awal tadi? Kerana apabila bom sudah meledak dan semua sudah lumpuh, pengeluar mencari alternatif untuk survival dengan strategi harga barangan yang murah. Di masa zaman kemelesetan ekonomi, golongan bawahan sanggup berbuat apa saja untuk hidup. Maka kos pengeluaran kembali rendah. Seperti menekan butang reset. Segala kembali ke tahap minimum.

Ok. Cukup-cukup. Pengajarannya. Ia akan berlaku dan ia akan tetap berlaku. Maka, jadikan ia suatu musim yang amat dinanti-nantikan kerana ia ada hikmat yang besar!

No comments: