Saturday, September 5, 2009

Bantu Kami, Kami di Zon Perang

Baru beberapa rakaat bertarawikh kami sudah di serang hendap.

Bunyi letupan kejap-kejap dari utara.

Kejap-kejap dari barat daya.

Selang beberapa saat silih berganti dari kedua-dua wilayah ini. Macam guruh sabung menyabung pula.

Aku dan jemaah semua hanya tunduk tanda khusyuk walaupun hati dalam tidak tenteram.


Ada yang meletup kuat.

Ada yang bunyi kecepes. Macam-macam. Tapi bunyi thunderclap memang menusuk jantung aku. Hampir-hampir tersentak aku tiap kali thunderclap meletup.

Kurang ajar budak-budak di wilayah ini. Perkarangan masjid pun mereka tak hormat. Aku pun tak pasti apa jenis luahan rasa hati budak- budak ini cuba luahkan. Aku saja tuduh budak-budak yang main mercun sebab aku tak ada bukti bapak-bapak budak masakini masih bermain mercun-mercun yang hebat.

Persoalannya, siapa yang pembiaya aktiviti-aktiviti keganasan ini. Satu batang thunderclap sahaja mungkin mencecah lima ringgit. Kalau ikut hitung kira semasa aku khusyuk bertarawikh mahu dekar lima-enam puluh ringgit sudah terbang terbakar menerusi kempen mereka.

Soalan seterusnya, bila aku cuba-cuba hayati perjuangan budak-budak ini, kepuasan jenis apa yang mereka nikmati bila mercun meletup. Aku cuba imbas balik memori aku semasa kecil pasal mercun. Aku pun tak pasti macam mana rasa nikmatnya bila mercun itu meletup. Tapi yang pasti hasil bunyi letupan itu maha dahsyat dan menggerunkan.

Satu perasaan yang menyentap. Seperti selepas bunyi guruh sejengkal di luar tingkap semasa kilat sabung menyabung. Itu perasaan bagi mangsa. Tapi aku masih kabur tentang perasaan si pelaku. Aku agak kepuasaan yang maha dahsyat yang tidak tergambar bila melihat orang lain dalam ketakutan. Aku rasalah. Kalau tidak, kita semua akan buntu dengan permainan mercun ini, apa yang menarik dan hebat pasal mercun.

Setahu aku, orang cina bakar mercun mahu halau hantu. Tapi orang melayu bakar mercun nak jadi hantu.

No comments: